Kejar harta lupa ibadah bekalan hadapi mati - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kejar harta lupa ibadah bekalan hadapi mati

Kita perlu sentiasa bermuhasabah setiap apa yang dilakukan di dunia kerana semakin hari semakin dekat kita dengan waktu akan kembali menghadap Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang disediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).

Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan." (Surah al-Hashr, ayat 18) Rasulullah SAW bersabda, orang yang paling cerdik dalam kalangan kamu bukanlah yang memiliki rumah besar, berjawatan tinggi, mempunyai rupa paras indah, tetapi orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk saat selepas kematian nanti. Orang paling bodoh dalam kalangan kamu bukan orang yang tidak berpendidikan tinggi, tetapi orang yang hidupnya mengikut dan leka dengan hawa nafsunya, kemudian dia meletakkan angan-angannya kepada Allah SWT.

Lihat kembali dosa dilakukan 

Islam mengajak kita bermuhasabah dan salah satu caranya ialah dengan beriktikaf, bangun bertahajud pada malam hari atau menyendiri. Sebelum tidur, kita digalakkan meluangkan masa bermuhasabah, melihat kembali dosa yang telah dilakukan, menilai ganjaran pahala sepanjang hari itu cukupkah dijadikan bekalan untuk dibawa menghadap Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, ada tiga perkara yang mengiringi jenazah ke kuburan iaitu ahli keluarganya, harta bendanya dan amalan, tetapi yang kekal bersama jenazah hanyalah amalannya, manakala ahli keluarga serta segala harta bendanya akan pulang meninggalkannya berseorangan dalam kubur.

Peringatan itu disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati setiap Khamis di IKIMfm. Katanya, kehidupan manusia pada setiap detik, semakin dekat dengan kematian. Allah SWT menegaskan, pandanglah apa yang kamu hendak bawa untuk menghadap di hadapan Allah SWT nanti. Antara perkara yang perlu kita muhasabah ialah masa yang berlalu dengan sia-sia tanpa digunakan untuk melakukan amalan terbaik untuk diri. Allah SWT bersumpah berkaitan masa dalam firman-Nya yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al-Asr, ayat 1-3)

 Sikap sering mensia-siakan masa menyebabkan kita tertinggal untuk melakukan tiga perkara dalam kehidupan. Pertama, memperkukuhkan akidah dan keyakinan kepada Allah SWT kerana leka memperkukuhkan keyakinan terhadap dunia berbanding akhirat. Pernah suatu ketika Rasulullah SAW bingkas bangun selepas mengebumikan jenazah, lalu Baginda menyampaikan ucapan: "Wahai manusia, aku melihat kamu ini seolah-olah kematian tidak tertulis di dalam hidupmu dan aku lihat kamu ini seolah-olah tidak menjadi wajib bagi Allah untuk mematikan kamu.

Setiap kali kamu menghantar jenazah ke perkuburan, seolah-olah dirimu meletakkan mayat di kuburan bagaikan menghantar orang bermusafir sahaja. Kamu tinggalkan jasad mereka dalam kuburan itu, kemudian kamu kembali, kemudian kamu makan segala peninggalan mereka. Kamu lakukan semua ini seolah-olah kamu kekal hidup selepas mereka. Kamu lupa segala peringatan Allah, kamu rasa aman daripada kemarahan dan kemurkaan Allah." Justeru, ambil kesempatan masa untuk memantapkan ibadah kepada Allah SWT.

Masih ramai antara kita yang tidak menutup aurat, culas mendirikan solat dan masih bergelumang dengan maksiat serta membiarkan hawa nafsu menghalang diri daripada beribadah kepada Allah SWT. Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Berlumbalah kamu dalam melakukan perkara yang baik." Ambillah kesempatan masa untuk memperbaiki akhlak yang masih lagi belum sempurna iaitu akhlak dengan diri, keluarga, masyarakat dan Allah SWT.

Soal cara urus harta 

Perkara kedua perlu dilihat ialah harta benda yang dimiliki kerana ia pasti akan disoal oleh Allah SWT nanti. Rasulullah SAW bersabda: "Telapak kaki kamu tidak akan berganjak daripada Padang Mahsyar nanti, sehingga Allah bertanya kepadanya empat perkara. Iaitu harta benda kamu, daripada mana kamu memperolehnya, ke mana kamu membelanjakannya. Mengenai umur, ke mana telah kamu habiskannya, waktu muda di manakah kamu menghabiskannya." Mengejar harta benda menyebabkan kita tidak menghiraukan dosa dan pahala, tidak mengeluarkan zakat serta terlupa untuk menginfakkannya ke jalan Allah SWT.

Ramai di antara kita yang cuai dalam menjaga solat sedangkan ibadah solat perkara yang paling asas dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: "Sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, maka dia sudah mendirikan agamanya. Siapa yang meninggalkan solat, maka dia menghancurkan agama dalam jasadnya." Akhir sekali, bermuhasabah terhadap dosa yang telah dilakukan sepanjang kehidupan di dunia ini. Dosa adalah tekanan dan bebanan kepada diri, mereka yang hidup dalam keadaan berdosa tidak pernah berasa bahagia sebaliknya hidup dalam kecelakaan serta celaan. Usah dibiarkan hidup bergelumang dosa, tetapi hiduplah dalam ketaatan kepada Allah SWT. Oleh itu, banyakkan memohon ampun kepada-Nya selagi kita berpeluang melakukannya.

Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/114494
0 Komentar untuk " Kejar harta lupa ibadah bekalan hadapi mati "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ