UK Ice Blendz: Niat galak komuniti jadi usahawan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

UK Ice Blendz: Niat galak komuniti jadi usahawan

BERBEKAL modal sebanyak RM3,000 semasa memulakan perniagaan kira-kira sedekad lalu, UK Ice Blendz berjaya merealisasikan impian untuk membantu peniaga lain.

Bagi Pengarah Urusan Pemasaran dan Jualan UK Ice Blendz, Ahmad Muzakkir Hamid, 39, idea untuk membantu usahawan bermula selepas dia menyedari kerja makan gaji tidak mencukupi untuk menyara keluarganya di kala kos sara hidup semakin meningkat di kawasan bandar.

“Ketika bekerja sebagai kakitangan di sebuah bank sekitar tahun 2000, gaji saya kurang RM2,000 sebulan. Dengan gaji tersebut, ia tidak mencukupi lebih-lebih lagi tinggal di Kuala Lumpur yang mana segala-galanya mahal.

“Jadi, pada 2004, saya cuba nasib dengan menjual ice-blended di Pasar Malam Taman Melawati dengan bermodalkan kira-kira RM3,000,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat UK Ice Blendz di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Anak jati yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mengakui kesukaran untuk mendapatkan tapak pasar malam di kawasan tersebut.

Bagaimanapun dengan melakukan pelbagai pendekatan, akhirnya, Ahmad Muzakkir bersyukur kerana berjaya menyewa tapak di pasar malam berkenaan dan berniaga di situ tiga hari seminggu.

“Saya putuskan untuk menamakan jenama saya sebagai UK Ice Blendz. UK itu bermaksud ‘Ulu Klang’ dan saya letak nama itu kerana Ulu Klang adalah lokasi pertama saya memulakan perniagaan,” katanya.

Pada 2006, dia membuat perbandingan pendapatan sebagai peniaga dan juga sebagai kakitangan bank.

Hasil perbandingan itu dia mendapati pendapatan sebagai peniaga 10 kali ganda lebih banyak berbanding gaji yang diperolehnya.

Melihat situasi tersebut, Ahmad Muzakkir berfikir panjang sebelum nekad berhenti kerja untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan UK Ice Blendz.

“Alhamdulillah, pelanggan saya semakin bertambah dan ada di antara mereka memberi idea untuk mengembangkan perniagaan ini.

“Saya tertarik dengan idea tersebut, namun, pada ketika itu, saya agak risau kerana jenama saya tidak begitu dikenali ramai,” katanya.

Buka syarikat, kilang

Setelah mengingat kembali niatnya untuk membantu masyarakat terutama sekali Bumiputera, Ahmad Muzakkir sekali lagi mengambil risiko dengan membuka syarikat pada 2008.

UK Ice Blendz semakin berjaya setahun selepas itu dan sekali lagi dia mengorak langkah membuka kilang pemprosesan serbuk minuman ice-blended di Wangsa Maju, Kuala Lumpur serta pusat latihan usahawan dengan bermodalkan kira-kira RM100,000.

Dengan terbinanya kedua-dua bangunan itu, ia merealisasikan niat Ahmad Muzakkir untuk memberikan kemudahan lengkap serta latihan kepada usahawan ataupun rakan niaga di bawah syarikatnya.

“Kini, saya mempunyai 44 perasa serbuk ice-blended yang boleh didapati dengan harga RM19 sekilogram.

“Usaha  saya ini  membuka mata beberapa agensi seperti Tekun Nasional, Agro Bank dan Baitulmal dalam usaha untuk membantu masyarakat menjadi usahawan,” katanya.

Bagi mana-mana individu yang ingin menjadi rakan niaganya, syarikat tersebut menawarkan tiga pakej yang berpatutan untuk membuka perniagaan UK Ice Blendz.

Pakej-pakej tersebut ialah Pakej Bajet@RM1,499 yang sesuai untuk perniagaan dalaman (restoran); Pakej Komplete Set@RM3,499 iaitu set lengkap gerai tanpa penjana elektrik mudah alih; dan Pakej Komplete Set@RM3,999 dengan penjana elektrik mudah alih.

“Niat saya adalah untuk membantu masyarakat terutama sekali Bumiputera membuka perniagaan. Dengan modal serendah RM1,499 dan latihan perniagaan secara percuma, mana-mana individu boleh membuka perniagaan dengan mudah.

“Jika berniaga dengan cara betul, mereka berkemungkinan boleh memperoleh keuntungan selepas berniaga dalam jangka masa yang singkat,” katanya.

Syarikatnya kini mempunyai kira-kira 1,800 rakan niaga di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Ahmad Muzakkir kini sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran di Makkah pada masa depan.

“Ini adalah cita-cita saya sejak dahulu lagi dan berharap impian ini menjadi kenyataan.

“Sudah dua kali saya ke Makkah bertemu rakan di sana. Rakan saya ada menyatakan minatnya untuk membantu membuka perniagaan di sana,” katanya.

Ice Blended UK Ice Blendz boleh didapati dengan harga RM2 bagi cawan bersaiz kecil dan RM3.50 bagi cawan besar.

0 Komentar untuk " UK Ice Blendz: Niat galak komuniti jadi usahawan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ