Perpaduan ummah agenda bersama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perpaduan ummah agenda bersama

ALHAMDULILLAH. Tahniah dan syabas kepada Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia yang berjaya menganjurkan Program Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 baru-baru ini.

Program sebegini cukup bermakna apabila dapat menemukan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selaku Presiden Pas di atas pentas yang sama, berucap dengan nada yang senada, iaitu nada perpaduan ummah yang merentasi ideologi politik dan perbezaan fikrah dalam kalangan kepemimpinan dan masyarakat.

Peranan yang digalas oleh gerakan-gerakan dan badan-badan bukan Kerajaan seperti Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia ini amatlah besar sebagai kuasa ketiga dalam mendamai dan menyatukan kedua-dua parti Umno dan Pas yang masih menjadi tunjang kepada Melayu Islam di negara ini.

Lebih-lebih lagi, Universiti al-Azhar yang kini berusia lebih seribu tahun tetap kekal mempertahankan prinsip dan pendekatan wasatiyyah yang menghayati elemen kesederhanaan seiring dengan sifat agama yang tidak menjurus ke arah pelampauan mahupun melonggarkan agama.

Bahkan universiti ini juga telah melahirkan ribuan graduan dari Malaysia. Inilah gelombang kebangkitan pihak ketiga yang berjaya menjadi faktor pemersatu ummah dalam konteks politik.

Dalam hal ini, ALLAH SWT menyeru segolongan daripada pihak ketiga agar menjadi faktor pemersatu kepada ukhuwah Islamiah antara sesama umat Islam yang bertelagah. Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 10:

“Sebenarnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat”.

Bahkan dalam Surah Ali-Imran ayat 103, ALLAH SWT jelas menyuruh umat Islam supaya bersatu-padu dan tidak bercerai-berai.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang-orang Islam yang bersaudara..”.

Inilah dalil yang jelas lagi qat’ie berkenaan seruan dan perintah untuk bersatu. Bahkan Ibnu Kathir mentafsirkan bahawa ALLAH SWT memerintahkan mereka untuk bersatu-padu dan melarang mereka daripada bercerai-berai.

Mengimbau sejarah penurunan ayat ini, ia diturunkan kepada umat Islam di Madinah pada ketika itu yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin adalah mereka yang berhijrah dari Makkah ke Madinah manakala golongan Ansar adalah mereka yang terdiri daripada kabilah Aus dan Khazraj.

Kedua-dua kabilah ini sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah adalah mereka yang saling bermusuh, bergaduh, bersengketa, bahkan sehingga berperang antara satu sama lain dalam tempoh yang lama, berpunca daripada perencanaan dan hasutan orang-orang Yahudi di Madinah.

 Begitu juga dengan hadis-hadis yang menyeru kepada penyatuan ummah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya ALLAH reda kepada kamu tiga perkara dan murka kepada kamu tiga perkara. Dia reda kepada kamu: (1) Kamu menyembah-Nya dan kamu tidak menyekutukan-Nya. (2) Kamu sekalian berpegang teguh dengan tali ALLAH (agama-Nya) dan janganlah kamu bercerai-berai. (3) Kamu saling nasihat menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia sebagai pemimpin urusan kamu. Dan Dia murka kepada kamu tiga perkara: (1) Percakapan yang sia-sia yang tidak memberi faedah. (2) Mensia-siakan harta. (3) Banyak bertanya (yang tidak memberi manfaat)”. Hadis sahih riwayat Imam Ahmad, at-Tabrani, Ibnu Hibban, dan al-Hakim.

Justeru, apabila usaha penyatuan antara dua parti politik ini telah dimulakan melalui platform sebegini yang melibatkan para pemimpin parti, ilmuwan Islam dan golongan akademik seluruh negara, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk merealisasikan tahaluf siyasi antara Pas dan Umno pada suatu masa nanti.

Namun, dalam usaha ke arah kesatuan ummah ini, kedua-dua parti tidaklah seharusnya mengorbankan ideologi dan meleburkan identiti perjuangan politik masing-masing. Ini kerana perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara adalah lumrah dalam kehidupan, sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah Hud, ayat 118:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengkehendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya sebagai umat yang satu, (tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan”.
Bermuafakat tidak semestinya bergabung, bersatu tidak bermakna harus mencairkan identiti mana-mana parti. Tetapi berpadu atas asas Islam dan bersatu demi maslahat ummah.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

0 Komentar untuk " Perpaduan ummah agenda bersama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ