Delifea, sos pasta Bumiputera - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Delifea, sos pasta Bumiputera

PASTA sudah menjadi pilihan antara makanan Barat jika berkunjung ke restoran menyajikan masakan tersebut.

Bagaimanapun, agak sukar untuk mendapatkan sos pasta segera terutamanya buatan Muslim di pasaran.

Menyedari perkara itu, Suffiah Said Adzim, 36, mula mengorak langkah mengeluarkan sos atau kuah pasta sendiri, jenama Delifea, menerusi syarikatnya, Fea Food Sdn Bhd (Fea Food), pada tahun lalu.

Ketika itu, Pengarah Urusan Fea Food itu mempunyai kafe sendiri di dalam kawasan Universiti Multimedia, Cyberjaya, yang dibuka sejak 2004 lagi.

“Kebanyakan menu saya adalah makanan Barat yang memerlukan sos pasta. Namun, setiap kali saya hendak beli kuah atau sos pasta, kebanyakan produk itu adalah keluaran syarikat bukan Islam dan produk import.

“Bukan itu saja, pada 2013, kecoh kes sos spageti import ada unsur syubhah. Bermula dari situ, ia membuatkan saya semakin berani untuk mengeluarkan sos pasta sendiri,” katanya.

Tambahan pula, sos pasta sedia ada di pasaran rata-ratanya mempunyai bahan pengawet dan pewarna tiruan.

“Untuk produk Delifea, saya tidak menggunakan bahan pengawet dan pewarna tiruan kerana ia tidak begitu baik untuk kesihatan kita.

“Lagipun, memang menjadi prinsip saya untuk mengurangkan kemasukan bahan kimia dalam makanan walaupun mengikut piawaian yang selamat,” katanya yang memulakan perniagaan Fea Food dengan modal RM100,000.

Walaupun tiada bahan pengawet dan pewarna tiruan, sos pasta Delifea itu mampu bertahan sehingga satu tahun kerana Fea Food menggunakan teknologi retort daripada Amerika Syarikat (AS).

Berniaga ketika masih belajar

Ketika melanjutkan pengajian di Universiti Multimedia dalam bidang kejuruteraan elektronik pada 2003, Suffiah sudah berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

Segalanya bermula apabila dia mengalami satu fasa yang sukar apabila wang sakunya pernah berbaki hanya 80 sen, sementara menanti duit belanja bulanannya.

“Hendak makan pun tiada duit. Saya pernah makan nasi dengan kuah saja dan pernah juga makan roti ban dengan air kosong. Kawan-kawan kerap juga belanja saya, sampai segan dengan mereka.

“Selain itu, saya juga ada banyak hutang pada masa itu iaitu sewa rumah RM1,300 sebulan yang tertunggak selama dua bulan. Yuran pengajian juga tertunggak sehingga saya tidak dapat mengambil peperiksaan,” katanya.

Akhirnya, ilham tercetus untuk menjual pasta secara atas talian (online) dan menghantar kepada pelanggan di Universiti Multimedia.

“Dengan modal RM50, saya buat spageti dari botol dan tumpang rumah mak atau kawan saya untuk sediakan pasta, sebelum bungkus dan buat penghantaran dari bilik ke bilik.

“Dalam satu hari, saya terima antara 50 hingga 100 pelanggan. Dengan duit hasil jualan pasta inilah yang jadi duit poket saya,” katanya.

Setahun kemudian, Suffiah membuka kafe pertamanya dengan nama ‘Delidelphia’ sehingga Mei 2015.

“Namun, kini kafe itu terpaksa ditutup untuk kerja-kerja baik pulih di Universiti Multimedia,” katanya.

Sos pasta untuk pelbagai masakan

Suffiah tidak pernah menyesal terpaksa menutup kafenya kerana perniagaan sos pastanya semakin hari semakin diterima baik oleh pelanggan.

Buat masa ini, Fea Food hanya mengeluarkan satu jenis sos pasta sahaja iaitu sos pasta dengan campuran herba Itali yang dijual dalam dua varian iaitu pek 250 gram (g) dan 1.5 kilogram (kg).

Pek 250g dijual pada harga RM8.90, manakala pek 1.5kg pula RM25.

“Dalam sebulan, kami mengeluarkan antara 40 hingga 50 kotak sos pasta dengan setiap satu kotak mengandungi 24 pek sos,” katanya.

Menariknya, Suffiah berkata, sos pasta Delifea sesuai digunakan untuk pelbagai jenis makanan barat antaranya ‘Bolognese Spaghetti’, ‘Coneydog Gravy’, sos Marinara, ‘Lasagna’, ‘Pizza Spread’, ‘Chips Dips’, ‘Bruschetta’ dan sebagainya.

“Penyediaannya begitu mudah dengan hanya mengambil masa kurang dari 10 minit,” katanya.

Produk jenama Delifea yang dibuat di sebuah kilang di Nilai, Negeri Sembilan itu kini boleh didapati di hampir 100 buah pasar raya dan halal mart di seluruh negara antaranya Presto Grocer, Avenue K, Az-Zain dan Raudhah Mart.

Selain itu, Fea Food turut membekalkan sos pasta Delifea kepada empat restoran dan dua kedai bakeri di sekitar Lembah Klang.

Delifea bakal memasuki Singapura

Biarpun masih baru dalam perniagaan sos pasta, Suffiah menyimpan impian untuk menjadi jenama sos pasta pilihan orang Islam di seluruh dunia.

“Saya berharap suatu hari nanti sos pasta Delifea akan ada di setiap benua bagi memudahkan umat Islam yang mencari produk halal tanpa ada keraguan,” katanya.

Bagi mencapai hasratnya itu, Fea Food akan menembusi pasaran Singapura pada tahun hadapan menerusi jualan sos pastanya di Agro Bazaar Singapura, atas bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

“Kita sudah dapat pesanan belian di Singapura untuk pasaran tahun depan,” katanya.

Selain itu, sos pasta Delifea juga bakal mengembangkan perniagaan mereka dengan memasuki beberapa pasar raya besar dalam tahun depan.

“Buat masa ini, saya dengan pihak berkaitan dalam proses perbincangan untuk menempatkan produk kami di pasar raya besar mereka bagi memudahkan orang ramai mendapatkan sos Pasta Delifea.

“Kami sasar untuk mencapai sasaran RM1 juta menerusi jualan di 500 cawangan di seluruh negara, menjelang akhir 2016,” katanya.

Tahun hadapan, syarikat itu juga akan meneroka pasaran Brunei kerana permintaan tinggi terhadap produk halal di negara tersebut. Dalam masa sama, Fea Food juga bakal mengeluarkan produk baharu yang masih lagi di peringkat ujian ketika ini.

“Insya-ALLAH kami akan keluarkan kuah karbonara, sos perang dan sos lada hitam menjelang tahun hadapan,” katanya.

0 Komentar untuk " Delifea, sos pasta Bumiputera "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ