Nasi air RM2 penuhi selera orang ramai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nasi air RM2 penuhi selera orang ramai

DALAM kebimbangan kejatuhan ringgit, namun masih ada lagi peniaga yang menjual nasi air serendah RM2 semangkuk.

Warung kecil yang terletak berhampiran Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan ini bukan sahaja menyajikan hidangan yang murah, malah lebih penting ia sedap dan memenuhi selera orang ramai.

Pemiliknya, Azhar Abdullah, 41 berkata, walaupun ramai yang mempersoalkan keuntungan yang diperoleh, namun baginya itulah harga paling sesuai bagi memastikan pelanggan dapat menikmati nasi air resipi isterinya,  Masitah Wado, 43.

“Biar untung kecil, tetapi jika ramai yang datang, ia akan tetap memberi keuntungan berlipat ganda.

“Lebih penting ramai yang mampu menikmati nasi air di kedai saya ini, itu lebih memuaskan hati,” katanya ketika ditemui di warungnya di Padang Tembak di sini.

Azhar berkata, walaupun hanya RM2, namun dia tetap memastikan nasi air di warungnya memenuhi selera orang ramai apabila turut diletakkan ikan bilis dan daging sebagai pelengkap hidangan.

“Sedikit berbeza daripada nasi air istimewa kerana ia hanya ditambah perut dan telur separuh masak sahaja,” katanya.

Difahamkan, Azhar berjaya menjual lebih 100 mangkuk sehari setiap hari kecuali Jumaat.

Selain nasi air (RM2) dan nasi air istimewa (RM3.50), warung Azhar yang dibuka dari jam 5 petang hingga 11 malam itu  turut menyediakan pelbagai jenis masakan panas mengikut permintaan pelanggan.

Nasi air Azhar yang lebih menyelerakan jika dinikmati ketika masih panas ini menjadi pilihan orang ramai terutama pekerja- pekerja di kawasan perindustrian dan jam 7 petang ke atas dikatakan waktu paling sibuk baginya.

0 Komentar untuk " Nasi air RM2 penuhi selera orang ramai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ