Bijak merancang elak dilema berhari raya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bijak merancang elak dilema berhari raya



S: Apakah pandangan Prof terhadap dilema yang dihadapi perantau di bandar untuk pulang berhari raya? Dr Mansor: Ini adalah antara fenomena yang dihadapi perantau setiap kali hendak pulang berhari raya. Ia memang tidak dapat dielak. Ini berlaku kerana sudah menjadi kebiasaan orang kita akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut raya. Dulu mereka tinggal di kampung, apabila sudah dewasa bekerja dan terpaksa meninggalkan kampung halaman. Maka, hari raya adalah hari yang terbaik untuk mereka berkumpul semula dengan adik-beradik dan saudara-mara bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Cuma apa yang menjadi dilema perantau ialah ada antara mereka sudah kematian ibu bapa. Biasanya, apabila ibu bapa sudah meninggal dunia, rumah asal terbiar menjadi usang dan uzur. Jika ada adik-beradik yang mewarisi rumah itu, maka beruntunglah mereka kerana dapat balik ke kampung disebabkan ada tempat untuk menginap. Jika tidak ada sesiapa lagi tinggal di rumah itu, maka perantau ini perlu fikir di mana mereka hendak menginap. Zaman sekarang, perantau sudah berfikir yang mereka tidak mahu menyusahkan sesiapa apabila balik beraya. Sebagai jalan penyelesaian, ramai yang memilih menginap di hotel atau inap desa kerana tidak mahu menyusahkan adik-beradik atau saudara mara selain mahukan keselesaan. Ini sesuatu perubahan yang semakin diterima masyarakat hari ini. Bukan sesuatu yang pelik. Lagipun mereka balik tidak lama. Apa yang penting bagi mereka ialah niat untuk pulang beraya dan mengeratkan silaturahim dengan saudara-mara tercapai. S: Mengapa Prof kata fenomena pulang beraya tetapi tidur di hotel atau bukan di rumah saudara-mara, bukankah ini sesuatu yang luar biasa? J: Inilah istimewanya orang Melayu kita. Mereka mudah dan cepat menyesuaikan diri dengan perubahan walaupun ia mungkin agak janggal. Ketika ibu bapa masih hidup, mereka pulang ke rumah mereka dan meneruskan tradisi menyambut raya bersama saudara-mara dan jiran sekampung. Maka, walaupun ibu bapa sudah tiada, semangat mahu beraya di kampung bersama saudara-mara seperti sepupu, mak dan bapa saudara tidak padam kerana ada memori istimewa bersama mereka setiap kali menyambut raya. Ikatan yang terbina itu tidak terputus. Jika mereka menginap di hotel atau inap desa, itu kerana tidak mahu membebankan adik-beradik atau saudara-mara mereka. Namun, budaya mengunjungi saudara tetap diteruskan. Kadang-kadang mereka sudah merancang jadual untuk menziarahi saudara-mara seperti keluar awal pagi dan pulang lewat malam. Malah ada yang mengajak dan membelanja saudara-mara di kampung, makan di restoran. Masyarakat Melayu ini unik. Semakin besar mobiliti sosial mereka, semakin kuat semangat mereka pada agama. Kalau mereka lupa Tuhan, mereka tidak akan meneruskan budaya pulang ke kampung dan menziarahi saudara-mara. Ini membantu mengukuhkan hubungan sesama keluarga. S: Tidakkah perkembangan ini boleh merenggangkan hubungan perantau dengan saudara-mara mereka? J: Dalam konteks kehidupan hari ini, memang hubungan kekeluargaan itu nampak renggang kerana masing-masing tinggal berjauhan. Namun, perlu disedari perantau ini sebenarnya bukan tidak berhubung, bahkan hubungan antara mereka sebenarnya amat erat kerana ahli keluarga dikumpulkan menerusi aplikasi group WhatsApp. Menerusi perbincangan dalam group inilah, mereka merancang bagaimana hendak menyambut hari raya. Itu sebabnya perantau menjadi lebih ghairah untuk pulang berhari raya di kampung. S: Bermakna, orang kita bersikap terbuka dengan perubahan ini? J: Ya. Mereka sebenarnya mengadaptasi perubahan. Malah, tindakan mereka ini menginap di hotel atau inap desa akan membantu meningkatkan ekonomi sekeliling. Apabila mereka duduk di inap desa, ia tidak membabitkan kaum lain, maka manfaatnya akan dinikmati sesama mereka. Malah, sebenarnya tidak pelik lagi pada hari ini, ada saudara-mara mereka yang tolong mencarikan inap desa untuk saudara yang pulang ke kampung. Konsepnya sama seperti saudara kita menjemput menghadiri majlis perkahwinan anak. Mereka menyediakan rumah sementara untuk kita tidur dan berehat untuk sama-sama memeriahkan majlis perkahwinan itu. Ini adalah nilai murni yang orang kita ada. Kita mengadaptasi mengikut kesesuaian dan perubahan. S: Antara dilema yang dihadapi perantau ialah kesesakan jalan raya setiap kali pulang ke kampung dan kembali bekerja. Apa pandangan Prof mengenai hal ini? J: Dalam hal ini, orang kita sebenarnya tidak bijak merancang masa perjalanan. Mereka juga tidak mempunyai pilihan kerana terikat dengan tarikh cuti. Kita terperangkap dengan jadual cuti sekolah anak dan tarikh cuti kita yang bekerja. Misalnya jika Aidilfitri disambut pada Jumaat, hari Khamis baru orang kita bergerak serentak pulang ke kampung. Apabila semua bergerak pulang ke kampung pada hari Khamis, memang akan menempuh kesesakan. Cuma kita perlu bijak mencari jalan alternatif, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tempoh berada di jalan terlalu lama kerana terperangkap dalam kesesakan. Pada masa sama, kerajaan patut menyediakan pelan perjalanan yang anjal untuk perantau pulang ke kampung atau berusaha menangani masalah yang sama dihadapi perantau setiap tahun. S: Seperkara yang dapat kita lihat berlaku setiap tahun ialah perantau perlu memikirkan kos untuk pulang ke kampung. Lazimnya, pulang beraya akan meningkatkan perbelanjaan mereka. Boleh Prof ulas perkara ini? J: Kita tidak macam orang di Barat. Mereka merancang perbelanjaan dan perjalanan jika hendak bercuti. Orang kita 'main redah' saja tindakan dan perbelanjaan mereka. Walaupun ada perancangan, biasanya susah hendak ikut dan disiplin. Itu sebabnya, orang kita selepas raya akan menjadi 'miskin' selama tiga bulan atau sehingga Aidiladha, barulah keadaan kewangan mereka kembali stabil. Walaupun tidak merancang, mereka tidak cepat menggelabah atau terdesak. Ini kerana mereka berpegang kepada ajaran Islam yang mengajar umatnya sabar dan reda. Walaupun kewangan terjejas, mereka yakin rezeki tetap ada. Faktor pegangan agama dan budaya membantu mereka reda walaupun terpaksa 'ikat perut' beberapa bulan selepas raya. Dilema ini tidak sepatutnya berlaku jika kita bijak merancang perbelanjaan. S: Satu lagi dilema dihadapi orang kita yang mungkin tidak disedari ialah, fenomena orang beraya di bandar kerana tidak ada kampung. Apa pendapat Prof dalam hal ini? J: Walaupun mereka menjadi orang bandar, nilai kehidupan di kampung masih ada dalam diri sekiranya mereka berasal dari kampung. Kalau kita perhatikan, golongan ini sebenarnya menyambut hari raya berasaskan konsep kampung. Mereka tetap membawa konsep dan nilai beraya di kampung itu ke bandar. Mereka juga menjamu selera bersama jiran atau rakan. Bezanya, kegiatan mereka mungkin berbeza. Jika di kampung kita sibuk menziarahi, golongan ini mungkin pergi bersiar-siar di pusat beli-belah, menonton wayang dan makan besar bersama ahli keluarga atau rakan. Jika yang berkemampuan, mereka menyambut raya seisi keluarga ke luar negara dan ini juga bukan sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. S: Apa pula pandangan Prof mengenai dilema perantau yang terpaksa bergilir untuk pulang ke kampung mentua setiap tahun? J: Ia bergantung kepada taraf sosial pasangan suami isteri itu. Lazimnya, pasangan yang memiliki status sosial tinggi akan mempengaruhi keputusan pasangan untuk pulang beraya di sebelah mentua yang mana. Sama ada isteri atau suami jika mereka tergolong dalam status sosial tinggi seperti orang berada, bekerjaya besar dan mendominasi keluarga, pasangan akan akur dengan keputusan beraya di rumah mentua. Itu memang satu kelaziman yang tidak boleh digugat. Seorang daripadanya pasti akan mengalah. Misalnya, jika isteri termasuk golongan status sosial tinggi, suami akan terpaksa menurut saja keputusan isteri walaupun masing-masing tahu, suami adalah ketua keluarga. Apatah lagi kalau si suami sudah kematian ibu bapa. Hanya sehari atau dua hari selepas raya barulah keluarga ini akan pulang beraya ke kampung suami.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/67921
0 Komentar untuk " Bijak merancang elak dilema berhari raya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ