Wajar atau tidak BN bertanding? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Wajar atau tidak BN bertanding?

TATKALA rakyat Malaysia masih terkesan dengan pemergian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh politik yang dihormati kawan dan lawan, timbul cadangan supaya BN mempertimbang untuk tidak meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Chempaka, Kelantan.

Penganalisis politik berpendapat cadangan supaya BN tidak meletak calon bagi pilihan raya kecil Dun Chempaka, yang disandang allahyarham Nik Aziz, perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka pada 22 Mac manakala penamaan calon ditetapkan pada 10 Mac.
     
AKIBAT TIDAK LETAK CALON
 
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata meskipun terdapat pihak malahan kepemimpinan Umno sendiri mencadangkan agar BN tidak bertanding kerusi DUN Chempaka, parti itu terlebih dahulu mestilah memikirkan akibat jika tidak meletakkan calon.
 
"Tidak meletakkan calon di PRK Dun Chempaka hanya akan melemahkan imej Umno sebagai parti kerajaan di peringkat persekutuan," katanya.
 
Hujahnya tanggapan akan menjadi lebih buruk jika BN mengumumkan tidak meletakkan calon lebih awal tanpa mengetahui siapakah calon Pas.
 
"Rakyat akan melihat Kelantan di bawah Pas tiada tandingannya, selain Umno terus dilihat sebagai parti yang lemah dan tidak mempunyai calon layak dan berwibawa.
 
"Ini bukan soal menang atau kalah tetapi soal maruah dan persepsi kepada parti. Dengan adanya pandangan awal kepimpinan sebegini ia akan membantutkan pembinaan imej kukuh dan kesediaan Umno sendiri untuk menjadi pemimpin yang baik bagi rakyat Kelantan.
 
"Ia juga hanya memperkukuhkan persepsi bahawa Kelantan itu Pas dan Pas itu Kelantan," katanya kepada Bernama.
 
Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 14 Februari lepas melontarkan pandangan peribadi beliau bahawa BN tidak perlu meletak calon di Dun Chempaka, sebaliknya memberi tumpuan kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Beberapa pemimpin Umno termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri senada dengan pandangan Mustapa.
 
PENGHORMATAN
     
Selain itu, ada pihak berpendapat sentimen penyokong terhadap penyandang Dun Chempaka, allahyarham Nik Aziz, 84, yang meninggal dunia pada 12 Februari lepas terlalu kuat di kawasan itu dan BN tidak mungkin boleh menang.
 
Bekas Menteri Besar Kelantan itu meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan akibat kanser prostat.
 
Mempunyai pendapat berbeza, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata cadangan supaya BN tidak bertanding di Dun Chempaka ibarat suatu penghormatan kepada Allahyarham Nik Aziz.
 
"Dengan tidak bertanding di Dun Chempaka, BN boleh memberi tumpuan dan fokus untuk meningkatkan kerjasama dalam pengurusan banjir. Ini secara langsung akan membantu BN untuk memperoleh sokongan untuk jangka masa panjang," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Wajar atau tidak BN bertanding? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ