Pendidikan tradisional terus cergas - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pendidikan tradisional terus cergas

KUALA LUMPUR, Jumaat 13 Februari: Di negeri utara dan pantai timur  Semenanjung - Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu juga di Patani, selatan Thailand - pondok adalah institusi mengaji secara  tradisional.

Di luar negeri ini pondok adalah dangau, rumah kecil  lazimnya didirikan untuk sementara. Atau seorang pemimpin politik atau kerajaan berpura-pura merendahkan diri menjemput kita ke pondoknya (baca istana/vila/banglonya). Di Pakistan, pondok adalah madrasah, di Indonesia pesantren.

Bagusnya pendidikan tradisional tiada had umur, tidak wajib ada kelayakan minimum - semua boleh belajar di pondok. Lazimnya tiada yuran dan tidak ada had usia bila mesti tamat pengajian - bisa terus dari tingkat dasar atau ibtidaiah, ke tingkat menengah (aliah) hingga ke tingkat jamiah atau universiti.

Sepanjang saya tahu tiada peperiksaan formal, tiada ijazah diberi apabila tamat pengajian. Hanya perakuan tok guru yang diterima ramai, yakni muridnya sudah berilmu dan tidak diragui oleh rakyat.

Di pondok, seperti di sekolah asrama penuh, ada peraturannya tetapi tidak ketat seperti di sekolah asrama penuh. Sebenarnya longgar. Tetapi di pondok moden peraturannya agak tegas juga.

Pondok, seperti sekolah berasrama penuh / universiti ada ratingnya-ada klasifikasi tentang kualiti, reputasi dan siapa alumninya. Sekarang ada juga tok guru memberi ijazah atau sijil seperti tegas Speaking: "at the end of the course of study which could last many years”.

Bagi dunia Barat dan pemimpinnya yang rata-rata jahil berkenaan Islam kerana pengalaman tertentu dengan madrasah di Pakistan dan Afghanistan, maka pondok dianggap sebagai sumber rekrut militan Islam, sumber rekrut IS atau Islamic State untuk berjuang di Iraq dan Syria. Benar dan tidak betul; ada antara rekrut IS mereka yang berpendidikan sekular, bahkan ada bekas pelajar public schools (yakni sekolah elit di United Kingdom).

Di Indonesia, negara majoriti Islam terbesar di alam - lebih mega dari negara Arab combined - banyak pesantren yang sederhana, apa yang dipanggil pesantren of moderation.

Moderation/kesederhanaan tidak dapat diajar, tidak boleh jadi  subjek dakwah. Silibus di sekolah yang menentukannya. Kalau silibus pendidikan dan etos pendidikan seperti sekarang amat sukar rakyat kita bersifat sederhana.

Percayalah jika silibus pendidikan sederhana dan etosnya  juga sederhana, all round, tidak berat sebelah, pelajar dengan sendiri akan menjadi manusia sederhana dan moden dari segi amalan dan pendapat.

Dalam New York Times Rabu 11 Februari, terdapat satu makalah tentang pesantren yang sederhana oleh Pallavi Aiyar.

Menurutnya,  setelah melawat pesantren moden Darussalam Gontor di Jawa, satu antara jumlah yang ditafsirkan antara 13,000 hingga 30,000 seluruh Indonesia, dia dapati majoriti pesantren memberi pendidikan sekular seperti Sains, Sejarah dan bahasa Inggeris, selain dari pendidikan Islam, juga ada kursus vokasional.

Tegas Aiyar majoriti pesantren adalah kubu menentang ekstremisme. “In Indonesia, Islamic boarding schools (pesantren) are mostly a bulwark against (Islamic)  ektremisme”. Baru seratus rekrut dari negara Islam terulung pergi ke Syria dan Iraq menyertai IS.

Saya sering teringin hendak tinggal di pondok / pesantren  selama satu bulan tiap tahun, sama masa saya bercuti di Eropah  setiap tahun. Dukacita hasrat itu belum tercapai lagi kerana beberapa halangan. Insya-ALLAH hasrat itu akan tercapai satu hari kelak. It will be an experience I am sure.

Saya tidak tahu beberapa jumlah pondok di Malaysia. Saya tidak tahu sama ada kerajaan pun ada statistik. Apa pun saya sedar ada banyak pondok di Kelantan. Cadangan saya satu hari mahu berpondok di Jawa, di Aceh, Patani, Kedah dan Kelantan untuk mengulang kaji pendidikan asas agama, juga meningkatkan pendidikan fekah dan tauhid serta menghafal al-Quran dan hadis.

Pondok atau pendidikan tidak formal tahan dek zaman, resilien kerana pendekatannya praktikal, mudah dan tidak dibelenggu syarat serta peraturan birokratik atau red tape.

Tok guru bukan mengejar harta dunia, title serta pangkat, bintang, medal dan pingat; tidak tergila-gila ingin menjadi selebriti. Tok guru lazimnya mengajar demi kewajipan dan mahu menjadikan pondoknya sebagai Rumah Ilmu atau daral-ilm.

Sebenarnya pondok telah wujud sezaman dengan Universiti al Azhar dan kedua adalah model bagi universiti di dunia Barat juga jubah atau academic gowns yang berasal di Mesir. Pondok juga telah wujud beratus-ratus tahun di Maghribi (Morocco) dan di Bukhara.

Orang kita yang ada asas pendidikan agama susah dipengaruhi oleh pengajian memesong, mempolitik dan memperdagangkan agama, sekurang-kurangnya tegas Speaking, "are better able to spot scriptural distortions.”

Jika kita senang dengan identiti kita, stabil dan sejahtera dalam kehidupan, saya tidak nampak kita boleh diganggu gugat atas nama Islam oleh mereka yang sengaja memutar  belitkan ayat Quran dan hadis di luar konteks Quran dan hadis serta Islam tulen.

Pokoknya, berwaspadalah dengan mereka yang sengaja memesong tujuan sebenar agama sebab kepentingan perdagangan, politik atau mencari populariti dan kedudukan sebagai selebriti. Jika kita waswas baliklah ke pangkal jalan, belajar dengan tok guru yang berwibawa.

Pergi ke Gontor, ke Rumah Hikmah di Morocco, di Center of Islamic Studies Oxford University dan di pondok teruji di Kelantan. Pendidikan formal atau sebaliknya bukan hanya mengejar sijil dan berapa banyak ijazah, tetapi ia harus menjadikan kita orang baik dan berbakti.

Menjadikan seorang jurutera atau arkitek yang baik tidak bererti dia juga bisa berbakti kepada masyarakat. Dalam perkataan lain, tegas Speaking  “education - formal or not- is not just making better engineers or architects but also about making better citizens.”

Tok Guru Legenda 1931-2015

Pagi Jumaat 13 Februari, Kelantan dan negara mengebumikan  Tok Alim, pemimpin politik dan kerajaan Kelantan, Allahyarham Datuk Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, di tempat kelahirannya di Kampung Pulau Melaka, beberapa kilometer dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Tok Alim atau Tok Guru Nik Aziz telah kembali ke rahmatullah berusia 84 tahun, pukul 9.40 Khamis malam. Tok Guru Nik Aziz adalah Menteri Besar Kelantan yang saya kenali selain daripada Tan Sri Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud, Datuk Asri Muda, Datuk Mohamad Nasir dan Tan Sri Mohamed Yaacob.

Dalam pengalaman saya sebagai wartawan, politikus dan diplomat, saya amat tertarik, walaupun Allahyarham begitu lama berkuasa dan berpengaruh, saya belum bertemu dengan seorang berstatus demikian, di dalam dan di luar negara, yang gaya hidupnya begitu sederhana dan simple.

Majoriti manusia selepas berkuasa, walaupun tidak besar kuasa itu, lazimnya berubah perangai dan gaya kehidupan. Ada juga yang memiliki hobi baharu sesuai dengan status dan rumah baharu (dan isteri baharu!). Kekuatan Tok Guru, dia disanjungi sebab dia tidak berubah wajah.

Terus tinggal di rumah kampungnya tanpa banyak perubahan walaupun 23 tahun, menjadi ketua kerajaan dan politik Kelantan. Tok Guru tidak seperti yang lain  dari awal hingga akhir monogamus!

Tok Guru Nik Aziz adalah alumnus terbilang berpendidikan tradisional dan formal. Bagi saya dan keluarga serta pembaca kolum ini, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Tok Guru diiringi doa dan bacaan al-Fatihah.

0 Komentar untuk " Pendidikan tradisional terus cergas "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ