Paradoks pengguna tanggung harga barang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Paradoks pengguna tanggung harga barang

Umum mengetahui betapa impak harga minyak di pasaran dunia boleh mengubah ekonomi sesebuah negara dari sudut makro mahupun mikro.

Jika diambil contoh daripada kes Malaysia sendiri, penurunan harga minyak yang drastik telah menyebabkan kerajaan terpaksa membuat pelarasan semula kos perbelanjaan operasinya sejajar dengan pemboleh ubah ini.

Dari sudut yang lebih kecil pula, penurunan harga minyak dikaitkan dengan penawaran harga barang kepada pihak pengguna sebagai entiti akhir dalam mana-mana rantaian bekalan.

Baru-baru ini, isu harga barangan di pasaran Malaysia menjadi satu topik yang hangat diperkatakan. Sejajar dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia yang mencecah AS$45 setong, pengguna di Malaysia telah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka ekoran tiada penurunan pada harga barangan di pasaran.

Penurunan harga barang tak dinikmati pengguna

Ketidakpuasan hati pengguna ini kerana mereka dibebankan dengan harga barangan yang meningkat naik setiap kali harga minyak di pasaran dunia meningkat, bagaimanapun fenomena penurunan harga barangan tidak pula dapat dinikmati pengguna ketika berlakunya penurunan harga minyak seperti di alami sekarang ini.

Paradoks yang jelas ini telah turut membabitkan Kerajaan Pusat yang telah memanggil wakil pengeluar, pengedar, pemborong dan pembekal dalam rantaian bekalan itu sendiri untuk menyelesaikan isu yang menjadi topik hangat sekarang ini. Inisiatif holistik kerajaan ini amatlah digalakkan bagi menangani masalah berkenaan.

Artikel ini cuba melihat dari sudut yang boleh diguna pakai oleh kerajaan dalam menangani paradoks ini bersama entitii yang bekerjasama dalam rantaian bekalan itu sendiri.

Jika dilihat dari sudut rantaian bekalan itu sendiri, paradoks yang hangat diperkatakan sekarang ini bukanlah satu fenomena baharu. Dalam konteks rantaian bekalan, paradoks ini dinamakan ketidaktentuan. Ketidaktentuan yang wujud dalam rantaian bekalan ini boleh memberi impak berganda besar kepada mana-mana entiti dalam mana-mana rantaian bekalan.

Memandangkan pengguna adalah entiti akhir dalam rantai bekalan, kesan berganda daripada ketidaktentuan ini paling dirasai pengguna itu sendiri seperti kesan kenaikan harga barang dan sebagainya. Bagi mendalami dan memahami ketidaktentuan ini dan seterusnya merungkai paradoks harga barangan di pasaran, dua fenomena penting yang menimbulkan ketidaktentuan ini perlu difahami terlebih dahulu.

Walaupun terdapat fenomena penting lain yang menyumbang kepada ketidaktentuan harga barangan di pasaran, tiga fenomena berikut dianggap kritikal kerana ia lebih fokus kepada pengurusan rantaian bekalan itu sendiri.

Fenomena pertama adalah kekalutan yang wujud dalam pembuatan keputusan dalam rantaian bekalan itu sendiri. Dalam satu kajian yang dijalankan di Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang mengkaji impak pengurusan stok dalam rantaian bekalan, penyelidik MIT telah mendapati bahawa dalam rantaian bekalan yang terdiri daripada pengilang, pembekal, pengedar dan peruncit, entiti berkenaan sentiasa mengambil sudut pandang yang berbeza mengenai kepentingan stok.

Sebagai contoh ada antara entiti berkenaan yang mengambil berat mengenai status stok barangan di sepanjang rantaian bekalan dan ada juga yang tidak langsung mengambil berat mengenai stok barangan di sepanjang rantaian bekalan mereka. Ada juga kes dalam kalangan pengilang, pembekal, pengedar dan peruncit yang mempunyai kadar tindak balas perlahan ke atas kadar turun naik stok dalam rantaian bekalan, dan terdapat juga kes pengilang, pembekal, pengedar dan peruncit yang mempunyai kadar tindak balas pantas dan agresif ke atas perubahan kadar turun naik stok itu.


PENGILANG wajar peka dan pantas bertindak balas ke atas perubahan kadar turun naik barangan stok. - Foto hiasan

Entiti dalam rantaian bekalan bertindak negatif

Apa yang memburukkan lagi ketidaktentuan ini dan selanjutnya menimbulkan fenomena paradoks ini adalah apabila wujud walau satu pun antara mana-mana entiti dalam rantaian bekalan itu yang bertindak negatif dalam penentuan aras stok atau bekalannya. Situasi ini akan menimbulkan ketidaktentuan dalam polar membuat pesanan dan tahap bekalan entiti lain dalam rantaian bekalan itu. Ini seterusnya akan menghasilkan ketidaktentuan keseluruhan rantaian bekalan.

Selain itu, aktiviti lain yang turut dikenal pasti boleh menimbulkan fenomena kekalutan dalam pembuatan keputusan ini adalah seperti kesilapan memasukkan data pesanan, kelewatan penghantaran pesanan, sehinggalah kepada kealpaan pengurus untuk merekodkan pesanan yang telah dibuat.

Dalam satu kajian lain, didapati bahawa semua situasi berkenaan boleh menyukarkan pengurusan rantaian bekalan yang efektif dan boleh menghasilkan kos tambahan kepada pengguna hiliran yang seterusnya terpaksa menanggung impak kos berganda. Pada pengakhirannya nanti adalah kenaikan harga barang yang meningkat berganda yang terpaksa dibayar pengguna untuk produk atau perkhidmatan.

Fenomena kedua yang boleh menyebabkan ketidaktentuan ini adalah amplifikasi permintaan. Dalam konteks rantaian bekalan yang berfungsi sebagai satu sistem yang holistik dan saling bergantung antara satu sama lain, sering kali perubahan polisi perniagaan mahupun strategi yang diambil menyebabkan gangguan kepada kestabilan sistem tersebut.

Apa yang merisaukan kambing hitam gangguan 'sistem' ini sering kali diletakkan dalam keadaan di luar sistem itu.

Sering kali berlaku situasi yang mana perubahan pada jumlah kadar jualan yang pada hakikatnya tidak membawa sebarang makna pun kepada sistem itu diterjermahkan oleh sistem itu menjadi satu polar bermusim mahupun polar tahunan.

Ini adalah situasi yang berlaku apabila kadar permintaan negatif mahupun positif menerima renjatan amplifikasi dan seterusnya dipanjangkan keseluruhan sistem rantaian bekalan. Amplifikasi permintaan turut juga dikenali dalam konteks pengurusan rantaian bekalan sebagai Forrester Flywheel Effects ataupun Bullwhip Effects.

Kajian lain pula mengkelaskan punca amplifikasi permintaan ini kepada aktiviti peramalan stok untuk meningkatkan kadar stok selamat dan pesanan stok berkala sesuai dengan diskaun ditawarkan, perubahan harga barang yang mendorong kepada aktiviti forwad buying.

Semua aktiviti berkenaan yang berlaku dalam sistem rantaian bekalan itu sendiri akan menyebabkan berlakunya tindak balas langsung kepada harga barangan atau perkhidmatan.

Tak wujud pelarasan antara kos pembuatan dan harga barang

Kedua-dua fenomena diatas boleh berlaku dalam mana-mana rantaian bekalan dan disebabkan oleh mana-mana entiti dalam rantaian bekalan itu sendiri. Ini seterusnya akan menghasilkan ketidaktentuan yang mungkin boleh menyebabkan tidak wujud pelarasan antara kos pembuatan dan juga harga barangan di pasaran.

Dalam konteks pengurusan rantaian bekalan yang sensitif, setiap entiti dalam mana-mana rantaian berkala perlu melihat bahawa ia adalah sebahagian daripada satu sistem yang sentiasa memberi impak kepada yang lain melalui aktiviti-aktivitinya.

Perspektif ini secara tidak langsung menyebabkan kaedah pengurusan strategi jangka masa pendek mungkin lebih sesuai berbanding strategi jangka masa panjang bagi mencapai kestabilan dalam rantaian bekalan. Rancangan strategik jangka masa panjang mungkin kurang sesuai diaplikasikan dalam sistem rantaian bekalan yang terdedah kepada perubahan dan gangguan kecil.

Seperti dijelaskan di atas, perubahan dan gangguan kecil ini apabila diamplifikasikan dalam sistem rantaian bekalan akan menyebabkan impak yang besar kepada entiti hiliran rantaian bekalan.

Paradoks harga barang yang dialami pengguna Malaysia sekarang ini mungkin bukan berpunca daripada keengganan majoriti entiti dalam rantaian bekalan itu sendiri yang mahu menurunkan harga barang tertentu, tetapi disebabkan oleh terdapat segelintir entiti yang enggan berganjak kerana pelaburan dan strategi jangka panjang yang telah diambil dalam memainkan peranannya dalam sistem.

Sebagai contoh, teknologi Material Resource Planning (MRP) adalah satu teknologi pengurusan rantaian bekalan yang membantu pengurus melaksanakan aktiviti pembelian bahan mentah untuk aktiviti pembuatan. Berdasarkan peramalan permintaan pada masa hadapan, pengurus rantaian bekalan membuat pesanan bahan mentah bagi memenuhi permintaan yang telah diramal.

Data peramalan permintaan kerap bergantung kepada polar permintaan pada masa lalu dan juga trend semasa. Walau bagaimanapun, satu kesilapan yang kerap dilakukan oleh pengurus rantaian bekalan adalah apabila menggunakan data permintaan dan trend semasa yang hanya bertumpu kepada organisasi itu sendiri sedangkan organisasi itu adalah sebahagian daripada satu sistem berhubung kait iaitu rantaian bekalan.

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk mana-mana organisasi membuat ramalan jangka panjang tanpa mengambil kira maklumat tambahan daripada entiti lain dalam rantaian bekalannya. Andai berlaku ramalan permintaan yang kurang tepat, ia akan menyebabkan berlaku penyimpanan stok yang berlebihan ataupun berkurangan dalam rantaian bekalan itu sendiri.

Keadaan lebihan atau kurangan seperti inilah yang menyebabkan tidak wujud pelarasan antara kos pembuatan barang dan juga harga barangan tersebut di pasaran walaupun kos pembuatan dinilai sebagai berkurangan.

Untuk menangani fenomena ini terdapat beberapa pendekatan yang perlu dilaksanakan oleh entiti dalam sistem rantaian bekalan itu sendiri.

Setiap entiti perlulah melihat rantaian bekalan itu sebagai satu sistem holistik yang sentiasa bergantung antara satu dan lain. Sistem rantaian bekalan itu sendiri terbentuk oleh entiti kecil yang berhubung antara satu sama lain yang seterusnya membentuk satu sistem yang besar. Oleh yang demikian, sebarang tindakan mengambil kesempatan oleh mana-mana bahagian dalam sistem boleh menyebabkan perubahan besar kepada sistem itu yang akhirnya akan memberi kesan kepada keseluruhannya.

Kesan yang paling ketara adalah amplifikasi kepada kos bahan yang akhirnya ditanggung oleh pengguna akhir yang berada di hiliran rantaian bekalan.

Maklumat pengguna

Selain itu ketidaktentuan yang disebabkan oleh kedua-dua fenomena diatas boleh dikurangkan apabila entiti dalam rantaian bekalan memberi tumpuan kepada maklumat pengguna dalam menentukan jumlah permintaan. Maklumat yang diperoleh daripada pengguna perlulah di kongsi bersama dengan entiti lain dalam rantaian bekalan.

Bagi tujuan itu mungkin perlu diwujudkan entiti fokal yang akan memastikan perkongsian maklumat ini dilaksanakan secara komprehensif.

Penyelidik pula digalakkan membangunkan sistem simulasi yang boleh membantu aktiviti ramalan ini. Dengan wujudnya sistem simulasi yang mengambil kira fenomena ketidaktentuan, ini akan membantu.

Kesimpulannya, masalah kurangnya pelarasan kos dan harga barang yang dialami oleh masyarakat Malaysia mungkin bukanlah berpunca daripada mana-mana entiti dalam rantaian bekalan yang cuba mengambil kesempatan dan keuntungan melampau berdasarkan kepada penurunan kos pembuatan barangan. Sebaliknya, kekalutan ini berpunca daripada satu sistem yang tidak dapat bertindak sebagai satu unit holistik disebabkan wujudnya beberapa elemen fenomena ketidaktentuan tadi.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Pengurusan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM.

0 Komentar untuk " Paradoks pengguna tanggung harga barang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ