Merealisasi makna kesederhanaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Merealisasi makna kesederhanaan

HARI ini, terutama kerana meningkatnya kebimbangan terhadap ekstremisme agama dan ras dalam negara dan keganasan antarabangsa, maka, semakin ramai merujuk pada “kesederhanaan” sebagai jawapannya.

Semakin ramai mendukung kesederhanaan adalah positif. Bagaimanapun, inilah juga masanya yang memerlukan untuk dipastikan bahawa kesederhanaan difahami dengan tepat. Supaya tidak disalah tafsir atau disalah guna.

Supaya mereka yang mengamalkan kesederhanaan tidak dilabel (contohnya, kurang Islam/Melayu) atau didakwa (contohnya, hasutan).

Supaya tidak diculik oleh langkah-langkah memerangi keganasan bersenjata, sehinggakan golongan sederhana pun dihapuskan sekali gus. Dan supaya ekstremis tidak dilindungi, atau diiktiraf sebagai sederhana.

Ketika mencadangkan diwujudkan Gerakan Kesederhanaan Global, iaitu dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib merujuk istilah wasatiyyah sebagai kesederhanaan.

Wasatiyyah terbit daripada ayat al-Quran: “Kami telah jadikan kamu satu umat yang adil supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu” (al-Baqarah:143). Wasatiyyah bermakna “umat yang adil”.

Menurut Mohammad Hashim Kamali, penggunaan istilah wasatiyyah dalam ayat ini merujuk konteks antara-tamadun, iaitu kedudukan umat Islam bersama dengan masyarakat-masyarakat lain, dan bahawa ia tertakluk pada komitmennya terhadap kebenaran dan keadilan; pemaaf, adil dan berkemampuan berunding dalam kalangan masyarakat berbeza dan dengan itu mempamerkan rahmat dan keadilan ALLAH.

Ayat ini juga menunjukkan cara-cara berinteraksi dengan masyarakat-masyarakat lain. Umat ini mesti komited pada kesederhanaan kerana Rasulullah akan menjadi saksinya.

Wasatiyyah amat rapat dengan keadilan, dan cenderung memilih jalan tengah di antara dua ekstrem, dan sering digunakan bersilih ganti dengan istilah-istilah purata, asas, standard, pusat, berkecuali, pilihan terbaik dan seimbang.

Lawan kepada wasatiyyah ialah tataruf, iaitu cenderung terhadap kepenghujungan, ekstrem (termasuk keganasan), radikalisme dan pembaziran (dan lawannya: ketidakcukupan).

Kita perlu mengaplikasi kesederhanaan dalam seluruh spektrum kehidupan: kepercayaan, moral dan perwatakan, berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain, dalam institusi-institusi sosial, ekonomi dan politik, dan hubungan antarabangsa.

Contohnya, seorang Muslim perlu adil dalam menyeimbangkan kehidupan duniawi dengan ukhrawi. Beliau wajib menunaikan ibadat-ibadat fardu dan pada masa sama melunaskan tanggungjawabnya mencari nafkah untuk diri dan keluarga, dan peranannya dalam masyarakat dan negara.

Semua itu perlu adil dan seimbang antara spiritual dan fizikal, dan antara bentuk dan isi. Dalam konteks Malaysia, perlu ada keadilan antara tiang seri negara (Perlembagaan, Rukun Negara, Kontrak Sosial) dan Realiti Baru (ICT/media baru, kesedaran/gerakan sosial baru, tahap ketiga demokrasi), antara kebebasan dan tanggungjawab, antara kerajaan dan pemegang taruh lain, dan dasar inklusif yang membina perpaduan dan kesaksamaan sambil mengelakkan diskriminasi tak adil.

Contohnya, bagaimana menangani kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni (Perkara 3)?
Al-Quran memberikan panduan mencukupi. Islam “rahmat untuk semua” (al-Anbiya: 107).

Islam mengiktiraf dan merayakan kemajmukan, kerana “Jika ALLAH menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat” (an-Nahl: 93). Tetapi, ALLAH “telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan... berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan” (al Hujurat: 13).

Islam menegakkan kebebasan agama: “Tidak ada paksaan dalam agama” (al-Baqarah: 256). Islam melarang mengganggu agama lain: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada ALLAH” (al-an’Am:108).

Islam mengisyaratkan supaya menggunakan “kebijaksanaan” dan “berbahas/berdialog dengan cara yang lebih baik” (an-Nahl: 125). Dan sekiranya berlaku perbalahan, maka, “janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan” (al-Maidah: 8).

Jadi, sekiranya benar-benar memahami dan merealisasikan kesederhanaan, sesetengah kontroversi agama dan sebagainya dapat dielakkan.

* Datuk Saifuddin Abdullah (twitter: @saifuddinabd) ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global.

0 Komentar untuk " Merealisasi makna kesederhanaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ