Haram sambut Tahun Baharu Cina? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Haram sambut Tahun Baharu Cina?

"BIDAAH sambut Tahun Baharu Cina!" seorang sahabat yang bernama Anwar tegur saya.

Saya gemar menyoal daripada membantah. "Lu sambut tak perayaan Maulid Nabi?"

"Bidaah menyambut Maulid Nabi!" Anwar jawab macam nak pancung kepala orang. "Bidaah sesat kerana Nabi SAW, golongan sahabat dan kesemua imam mazhab tak pernah pun menyambut Maulid Nabi. Ia mula dengan Syiah yang terlalu menyembah keturunan Nabi SAW dan menyerupai perayaan Krismas di mana orang Kristian menyambut kelahiran Jesus."

Saya buat muka mengantuk Garfield sebab tak handsome macam artis K-Pop. "Gua ada soalan," saya menyoal lagi. "Mengapa gua tengok lu bagi angpau semasa musim Raya Fitri?"

"Sebab nak bagi budak-budak happy," jawab Anwar.

Saya ini oportunis dalam penghujahan. Saya nampak opportunity untuk tembak soalan mencabar minda, "Bukankah Nabi SAW, sahabat dan imam mazhab pun tak pernah khususkan musim raya untuk bagi angpau? Bukankah ini menyerupai amalan perayaan Cina kiasu?"

Anwar terdiam, keliru kot.

Saya teringat zaman sebelum lewat 80an, tiada angpau diberi pada musim raya kalau ziarah rumah Melayu tetapi hidangan sedap-sedap disediakan.

Budak-budak datang dari jauh demi mengharapkan pahala ziarah. Budak-budak begitu mesra bergaul dengan masyarakat. Humanity yang tinggi. Sekarang budak-budak datang, bagi salam dan tanya, "Pakcik, angpau?"

Saya jawab, "Pakcik bukan angpau. Pakcik adalah orang!"

Pemberian angpau sebenarnya lebih banyak memberi mudarat daripada manfaat. Manfaatnya menggembirakan budak-budak tetapi mudaratnya budak-budak dididik untuk menilai ibadah dan kemanusiaan menurut ukuran materialisme. "Kawan-kawan, jom ziarah touch and go je. Jangan duduk lama-lama. Lagi banyak rumah kita ziarah, lagi banyak angpau dapat!"

Tetapi bila sentuh soal hukum, sahabat tersebut memahami bidaah dalam skop yang oversimplistic: "Salaf tak pernah buat dan amalan menyerupai amalan kafir, maka jangan buat".

Islam tidak buang budaya. Ia perbaiki budaya.

Anwar gagal memikirkan sama ada wacana atau discourse bidaah yang dibawanya itu akan membawa lebih banyak fitnah kepada agama atau tidak. Dia hanya copy pendapat ulama Salafi Sa’udi dan paste dalam konteks Malaysia yang bersifat multikultural.

Saya hargai perbezaan pendapat tetapi tidak sekali-kali amalan malas copy paste. Semakin ramai self-appointed  'ustaz' di pasaran yang mengamalkan budaya copy paste ini dan tidak pula budaya malas dianggap bidaah!

Persoalan utama dalam konteks multikultural di Malaysia ialah bagaimana meyakinkan, dan bukan sekadar sampaikan, bahawa Islam itu adalah rahmat dunia, bukan rahmat untuk umat Muslim sahaja. Islam mampu membawa kembali rahmat keharmonian dalam konteks multikultural.

Saya sengaja menggunakan perkataan 'menyakinkan', bukan sekadar 'sampaikan' kerana adalah mudah untuk sampaikan dan berkempen Islam untuk semua.

Tetapi ini tidak cukup untuk meyakinkan Islam adalah rahmat untuk semua dalam konteks di mana Islam sentiasa digambarkan oleh segelintir umat Islam sendiri sebagai sinonim kepada agama potong tangan, agama pancung kepala, agama cari gaduh, agama membidaahkan semua budaya kecuali budaya jubah dan janggut!

Cina Muslim memainkan peranan paling meyakinkan dalam membina jambatan antara Cina kiasu dan tuan Melayu, Islam itu rahmat dunia. Mengapa?

Seorang Cina yang berhijrah kepada keimanan sejati kepada al-Quran adalah calon paling sesuai untuk menentang fenomena taksub bangsa. Dia telah buktikan dia tidak lagi taksub pada warisan budaya Cinanya bila dia melangkah masuk dengan penilaian yang kritis dan yakin ke dunia Islam.

Dia juga tidak taksub kepada bangsa Melayu kerana dia tidak dilahirkan, dididik sebagai Melayu. Dia nampak masuk Islam, bukan masuk Melayu.

Masuk Islam menjadikan dia lebih Cina lagi!

Dia masih mengekalkan nama penuh Cina. Tidak berbin Abdullah. Tetapi gilakan masakan Cina. Rajin. Berusaha menjadi lebih fasih lagi dalam bahasa Cina. Membawa keluarga menonton filem Cina dan berpesan mengenai mesej moral yang terkandung.

Cina Muslim patut membawa mesej bokia, bukan fobia  dalam menyambut Tahun Baharu Cina.

Mesej bokia maksudnya mesej 'usah takut'. Usah takut meletakkan nilai-nilai kemanusiaan atas angpau. Muslim bokia yakin bahawa “Kekayaan milik ALLAH. Saya wajib bagi the preferred care untuk ibu bapa saya. Ibu bapa adalah hadiah dan amanah ALLAH yang teristimewa. Lebih istimewa daripada kekasih saya!"

Cina Muslim bokia tidak akan meninggalkan ibu bapa mereka di rumah orang tua untuk raikan Tahun Baharu Cina bersama kekasihnya di Genting! Bahkan tidak melepaskan tanggungjawab menjaga ibu bapa di rumah orang tua. Usah fobia pada orang tua! Bukankah akhlak filial piety ini menjadikan Cina Muslim makin Cina?

Cina Muslim bokia juga melihat Melayu sebagai big bro mereka. "Kami yakin big bro mampu pimpin negara kita. Kami Ansar kepimpinan big bro. Ingatlah ALLAH Maha Big kalau big bro tak pimpin dengan amanah. Selamat Tahun Baharu Cina, Maaf Zahir Batin!"

Di sini, Dr Yamin Cheng secara uniknya menggabungkan budaya indah pantun Melayu dengan roh budaya Cina sebagai mesej harmoni antara dua budaya yang hebat ini sempena Tahun Baharu Cina. Dr Yamin Cheng pernah diberi pengiktirafan untuk mengajar perbandingan agama di Temple Universiti Amerika dan mantan pensyarah usuluddin dan perbandingan agama, UIAM.


Mesej harmoni Tahun Baharu Cina

Tahun baru Cina Malaysia
Semua bangsa turut beraya Cina, Melayu, Siam dan India Peribumi,
Yang Asli, semuanya ada

Kunjung menganjung merapat jiwa Satu Malaysia slogan negara
Rumah Terbuka adat bersama
Pemimpin dan rakyat bagaikan keluarga

Perpaduan negara maqasid utama
Hormat menghormati maslahat kita
Walau Islam tonggak negara
Semua agama hidup saksama

Kuih bangkit, kuaci, dan kuih belanda
Kuih tradisional Tahun Baharu Cina
Walau moden sudah negara kita
Adat resam lama jangan kita lupa

Musim bunga kembali tiba
Gendang bertalu pesta bermula
Anak-anak riang gembira
Menyambut Tahun Baharu Cina

Gong Xi Fa Cai ucapan raya
Sesama keluarga dan rakan sebaya
Kunjung-mengunjungi merapat jiwa
Muslim Tionghoa begitu juga

Walau bukan hidup seagama
Namun tetap keturunan sama
Tahun Baharu dirai semua
Panduan syariat pedoman raya

Indahnya Muslim Tionghoa Malaysia
Budaya Cina tetap terpelihara
Tahun baru bukan sekadar raya
Jalinan ukhuwah matlamat utama

Selamat Tahun Baharu Cina dan Gong
Xi Yang Yang daripada kami warga
Muslim Tionghoa Malaysia kepada
semua kaum di negara yang tercinta
semoga kita kekal hidup harmonis
bersama.

*Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak Pantun sumbangan Dr Yamin Cheng

0 Komentar untuk " Haram sambut Tahun Baharu Cina? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ