Bazaare bantu usahawan luar bandar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bazaare bantu usahawan luar bandar

SYARIKAT Bumiputera, Persada Terbilang Sdn Bhd memperkenalkan portal e-dagang terbaru, Bazaare dan menjangkakan ia membantu lebih 20,000 usahawan luar bandar dari seluruh negara untuk menembusi pasaran perniagaan dalam talian (online) di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pengarahnya, Sharuzzaman Bakri berkata, jumlah itu akan dicapai kerana Bazaare direka secara interaktif mampu menarik ramai pelanggan.

Menurutnya, sejak Bazaare diperkenalkan, lebih 18,000 usahawan perusahaan mikro mendaftar dengan portal tersebut.

“Yuran penyertaan sebanyak RM49.90, berpatutan berbanding produk dan perkhidmatan yang boleh mereka pasarkan secara online seperti kraftangan, pakaian, aksesori dan makanan.

“Bazaare menggabungkan elemen masyarakat, kandungan, kurasi dan perdagangan menjadi satu pengalaman menarik kepada pelanggan untuk membeli-belah,” katanya Majlis Pra Pelancaran Bazaare.

Sharuzzaman berkata, bagi mempromosikan portal Bazaare yang akan beroperasi April ini, pihaknya bakal menganjurkan Karnival Borong-Borong Bazaare di 17 bandar utama di seluruh negara bermula 3 April.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Produk Altel Communications Sdn Bhd, Mahadzer Arshad sebagai rakan penaja Karnival Borong-Borong Bazaare.

Turut memeriahkan majlis ialah artis-artis tempatan yang terlibat dalam perniagaan seperti Adam Corie, Azza Elite, Memey Suhaiza dan Nina Fazurina.

Antara ciri-ciri menarik Bazaare ialah penyediaan aplikasi yang membolehkan usahawan memilih sendiri modul promosi perniagaan yang hendak dijalankan seperti jualan segera, pemberian baucar diskaun dan pembelian dengan pembelian.

“Portal itu juga mengandungi artikel berkala yang memperkenalkan produk dan perkhidmatan terbaharu serta paling laris,” katanya.

Menurutnya, salah satu aktiviti mendekati lebih ramai usahawan ialah Karnival Borong-Borong Bazaare yang akan dianjurkan sehingga Jun 2015, karnival ini akan menjelajah bandar-bandar utama seperti Ipoh, Georgetown, Sungai Petani, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Taiping, Dungun, Kerteh, Batu Pahat dan Muar.

“Karnival ini akan memperkenalkan ekosistem e-dagang Bazaare secara menyeluruh yang terdiri daripada rakan kongsi strategik pelbagai sektor antara lain, telekomunikasi, perbankan, logistik dan perkakasan.

“Karnival seluruh negara ini akan memperkenalkan pengalaman e-dagang secara langsung kepada orang ramai melalui kedai pop-up mudah alih, meningkatkan kesedaran gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia dan merapatkan jurang pengalaman digital antara komuniti kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar,” katanya.

Sharuzzaman berkata, karnival itu mempunyai enam kabin dan kos pelaburan bagi program ialah RM1 juta serta menjangkakan pulangan RM10 juta.

0 Komentar untuk " Bazaare bantu usahawan luar bandar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ