TELEKOM Malaysia Berhad (TM), peneraju jalur lebar negara, menjalin usaha sama strategik dengan pengendali terbaharu dalam industri telekomunikasi tempatan, Net2One Sdn Bhd (Net2One) bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan dipercayai.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman berkata, kerjasama dengan Net2One itu akan dapat memastikan jalur lebar sentiasa diakses oleh pelanggan syarikat tersebut menerusi rangkaian TM.

“Malaysia merupakan sebuah pasaran yang semakin berkembang pesat dan pelanggan kami terus memerlukan perkhidmatan jalur lebar berprestasi tinggi bagi menyokong keperluan perniagaan dan persendirian mereka.

“Melalui kerjasama itu, TM dan Net2One akan dapat memanfaatkan kepakaran teras masing-masing dan memberi perkhidmatan serta sambungan terbaik buat pelanggan. Kerjasama ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai penyedia perkhidmatan pukal yang neutral,” katanya menerusi kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Holdings Sdn Bhd, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob berkata, menerusi kerjasama itu, Net2One dapat memberi nilai kepada syarikat di bawah Kumpulan Altel, iaitu Altel Communications dan MYTV Broadcasting, dalam mempercepatkan lagi pelaksanaan operasinya.

“Sebagai syarikat baru dalam industri, kami percaya, kerjasama strategik dalam rangkaian infrastruktur dan perkhidmatan pukal akan menjadi satu pendekatan ke pasaran yang berkesan bagi mengoptimumkan operasi perniagaan kami,” katanya.

TM sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi di Malaysia akan mengoptimumkan liputan rangkaian infrastrukturnya yang meluas di seluruh negara bagi menyediakan Net2One dengan perkhidmatan jalur lebar yang kos efektif dan berkapasiti tinggi.

Kerjasama itu membolehkan Net2One meluaskan capaian rangkaiannya dan membolehkannya memasuki pasaran dalam tempoh lebih pantas serta mengukuhkan penawaran produknya, ‘Managed Ethernet’, ‘Dedicated Internet Access’ dan ‘Private Leased Circuit’.