ALLAH laknat LGBT - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

ALLAH laknat LGBT

LGBT atau merujuk kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender. Isu ini makin menjadi-jadi di negara kita. Malah ada beberapa pihak yang cuba menyokong dan mempertahankan golongan serta aktiviti  songsang ini.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu dibendung dengan segera. Tahukah kita, ALLAH SWT mengancam kaum dan golongan yang mempunyai sifat songsang ini.

Balasan kaum songsang Dalam al-Quran ALLAH berfirman yang bermaksud: "Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dalam kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada badan isteri-isteri kamu.

(Kamu orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan). Mereka menjawab. Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Luth (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar, Nabi Luth berkata. Sesungguhnya aku daripada orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu". (Surah As-Syuara: 165-168)

ALLAH berfirman: "Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu.

Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

Dan tidak ada jawab daripada kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang (mendakwa) menyucikan diri”. (Surah al-A’raaf: 80-82)


Kaum Lut dibinasakan ALLAH

Tidak takutkah kita pada ancaman ALLAH. Seperti mana ALLAH mengancam kaum Luth dan diceritakan dalam al-Quran. Gejala songsang ini telah lama berlaku. Namun kini ia semakin menular dalam generasi, bangsa dan negara kita. Mahukah apa yang terjadi pada kaum Lut berlaku pada kita.

ALLAH berfirman lagi: "Ketika seksaan daripada Kami (ALLAH) itu datang, maka Kami jadikan dari negeri kaum Lut itu yang atas dibalikkan ke bawah dan kami turunkan hujan seksa ke atas mereka, yang berupa batu, tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, sebagai yang diberi tanda oleh tuhanmu, dan negeri itu tiadalah jauh dari orang yang zalim." (Surah Hud: 82-83)

Perbuatan songsang ini adalah perkara yang dilaknat ALLAH. "Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang perempuan yang menyerupai lelaki." (Riwayat Bukhari)


LGBT bukan isu remeh

Ini bermakna isu hubungan songsang ini bukan hal yang kecil. Lesbian, gay, bieseksual dan transgender ini membawa kepada hukum serupa. Ia mendatangkan murka ALLAH. Begitu juga mereka yang menyokong hubungan songsang ini.

Hal ini sepatutnya tidak perlu diberi sokongan dan perlu dibanteras. Ia ibarat seperti kita menggalakkan aktiviti maksiat dan keji yang dimurkai ALLAH.

Apatah lagi apabila kita menyokong, mempertahankan dan membawa hubungan songsang atau LGBT ini ke dalam negara. Ibaratnya kita menyokong dan mendukung kemungkaran yang dimurkai dan dilaknat ALLAH.

Diharap masyarakat tidak mudah dan terlalu jahil untuk menerima pemikiran dan keterbukaan terhadap hubungan songsang atau LGBT ini. Ia adalah corak masa depan anak cucu kita dan masyarakat.

Mahukah kita, jika anak-anak dan cucu kita kelak hilang jati diri dan melakukan kemaksiatan dan meraih murka ALLAH. Mahukah kita anak cucu kita kelak dilaknat ALLAH seperti kaum Lut.

Maka fikir-fikirkanlah. Jangan kerana terlalu takjub pada cara pemikiran Barat. Anak cucu kelak menjadi mangsa dengan keputusan yang kita buat sekarang.

Kita perlu tangani, tolak dan halang pelaksanaan dan pemikiran LGBT di tanah air demi menjamin masa depan anak cucu kita kelak.


Ancaman musibah buat kita

Pemikiran dan perlaksanaan aktiviti LGBT atau songsang ini tidak perlu dibawa masuk ke dalam negara kita. Kerana jika buka satu ruang untuk mereka membuatkan kita perlu membuka 10 lagi ruang selepas itu.

Akan ada lagi desakan demi desakan menuntut hak tidak bermoral mereka itu. Sesungguhnya manusia itu mempunyai banyak sifat tamak dan kejam.

Mahukan kita menerima nasib yang sama seperti dterima  kaum Luth terdahulu, ditimpa musibah ke atas diri kita dan negara. Maka kita perlu menutup dan menghalang segala ruang yang boleh mendatangkan musibah kepada kita dan anak cucu.

Sewaktu Subuh mula menyingsing, bergegar bumi kaum Luth dengan teramat dahsyatnya. Getaran itu adalah gempa bumi yang kuat dan hebat.

Bumi mereka diterbalikkan disertai angin yang kencang dan hujan batu sijjil (batu daripada api) serta-merta menghancurkan Kota Sadum dan semua penghuninya. Lalu matilah mereka, bertaburan mayat yang dilaknat ALLAH.


Tutup ruang kemungkaran

Sesungguhnya Islam, agama yang menutup segala ruang yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemungkaran. Ini adalah prinsip Islam. Begitu juga dalam hal hubungan songsang ini. Tiada ruang bagi mereka untuk mengamalkan dan menyokong hal ini di Malaysia.

Jika dilihat dalam al-Quran, firman ALLAH: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."  (Surah Al-Israa’: 32)

Maksudnya, dalam Islam ALLAH memberitakan agar perkara yang boleh membawa kepada zina perlu dijauhi, dengan firman ALLAH: "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." (Surah al-Isra’:32)

Bahkan Islam menetapkan batas aurat sesama jantina juga. Kerana Islam adalah agama yang cuba menutup pintu yang boleh membawa kepada kemungkaran tersebut.
Dalam satu hadis, daripada Abu said al-Khudri RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perempuan dalam satu selimut tanpa pakaian." (Riwayat Bukhari)


Dicipta berpasangan

Sesungguhnya ALLAH menciptakan kita manusia berpasang-pasangan. Maka janganlah kita ingkar dan cuba mengingkari ciptaan ALLAH.

 ALLAH berfirman: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar-Ruum: 21)
Pihak bertanggungjawab

Kita sepatutnya memanggil dan mengumpulkan mereka yang terbabit dalam hubungan songsang ini, untuk diberi tarbiah, kursus dan kesedaran kepada mereka. Kerana hal ini bukan isu yang ringan atau main-main. Ia perkara yang berat, yang dimurkai, diharamkan dan dilaknat ALLAH.

Mahukah kita bersubahat dengan hal seperti ini?

Dan seharusnya pihak yang bertanggungjawab seperti jabatan agama, pakar motivasi dan kaunseling, ustaz-ustazah, agamawan, masyarakat secara individu dan kumpulan atau seumpamanya di negara ini perlu melaksanakan program khas buat mereka-mereka yang terbabit dan terjebak. Bukan hanya menuding jari mahupun menyokong mereka.

Moga ALLAH memelihara negara, diri dan keturunan kita daripada terjebak dengan permasalahan LGBT ini.

0 Komentar untuk " ALLAH laknat LGBT "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ