MALAYSIA mempunyai potensi menjadi hub logistik Asean dengan memanfaatkan lokasi strategik, meningkatkan kegiatan perdagangan dengan rakan niaga Asean dan kelebihan daya saing.

Pengerusi Majlis Logistik Asia, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, antara kelebihan daya saing yang menjadikan Malaysia sebuah hub menarik termasuklah kemudahan infrastruktur bermutu, perkembangan pesat industri pembuatan dan perkhidmatan, harga kompetitif dan kecanggihan teknologi maklumat serta komunikasi.

Beliau menggesa pemain industri logistik supaya bersedia memanfaatkan peluang terbuka apabila Asean diintegrasikan sebagai satu pasaran tunggal dan pusat pengeluaran di bawah Komuniti Ekonomi Asean (AEC), menjelang hujung tahun depan.

“Kegiatan perdagangan yang semakin berkembang dan meningkat di antara Malaysia dan anggota Asean lain adalah bukti kepentingan Asean sebagai sebuah pasaran serantau.
“Industri logistik dan pengangkutan merupakan komponen penting ekonomi Malaysia pada masa hadapan. Kerajaan mengiktiraf sumbangan industri logistik dan pengangkutan kerana kedua-duanya dapat membentuk transformasi negara, menggalak perdagangan antarabangsa serta mewujudkan peluang keusahawanan” katanya.

Untuk tempoh separuh pertama 2014, jumlah keseluruhan urusan dagang Malaysia meningkat RM64.55 bilion kepada RM715.6 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Manakala, eksport ke negara-negara Asean meningkat 8.6 peratus kepada RM105.58 bilion, sementara import pula naik 5.7 peratus kepada RM88.34 bilion, sekali gus mencatatkan jumlah keseluruhan dagangan bernilai RM193.92 bilion.

Menurutnya, satu pelan tindakan jangka panjang diperlukan untuk merancang strategi bagi pembangunan sektor logistik yang mantap, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara pemain utama industri logistik serantau.