SAYA tidak kisah sangat pada acara I Want to Touch a Dog yang diadakan di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya hujung minggu lalu. Lagi pun bukanlah luar biasa orang Islam memegang anjing, selagi mengikut peraturan yang ditetapkan syarak.

Cuma, apa perlunya satu program khas diadakan hanya untuk memberitahu orang Islam perihal cara-cara memegang atau menyentuh haiwan tersebut. Malah, ada ustaz diundang memberi ceramah mengenainya.

Nampak sangat orang Islam @ Melayu di tempat kita jahil dalam hal ini. Pada hal isu mengenai anjing sudah kerap ditanya dan dijelaskan dalam mana-mana ceramah dan kuliah agama di masjid, surau, TV, radio dan lain-lain media.

Baik ustaz, ustazah atau mana-mana penceramah agama boleh sahaja memberi penerangan pada bila-bila masa, di tempat dan acara yang lebih sesuai. Ertinya, ustaz tidak perlu berkuliah bersama anjing-anjing. Lagi pun yang hendak diberi penjelasan ialah manusia, bukan haiwan!

Oleh sebab sebahagian yang datang pagi itu adalah pemilik anjing, pada hemat saya lebih baik sekiranya diadakan penerangan mengenai cara-cara menjaga dan mengendalikan anjing peliharaan. Terbukti selama ini ramai pemilik anjing tidak tahu menjaga haiwan ternakan mereka.

Saya tidak ada masalah dengan anjing. Jiran saya ada seekor anjing yang dikurung dalam pagar rumah. Najis haiwan itu dikawal dengan sempurna, dibuang dalam tong sampah dan tempat tidur haiwan berkenaan sentiasa dibersihkan.

Untuk mengelakkan daripada sebarang penyakit dan virus, anjing berkenaan dari semasa ke semasa dibawa untuk pemeriksaan di klinik haiwan. Kami sekeluarga tidak pernah berasa terganggu apabila sesekali anjing jiran menyalak tengah malam buta. Agaknya ia nampak pencuri, mungkin juga sedang mengesan hantu.

Tetapi saya tidak boleh tahan dengan sikap sebahagian besar pemilik anjing di kawasan perumahan yang tidak prihatin terhadap sesama insan, juga tidak pedulikan kebersihan alam sekitar.

Contoh 1: Ada papan tanda di taman awam yang dengan jelas dan terang melarang pengunjung membawa anjing. Taman tersebut bukan sahaja tempat beriadah tetapi juga untuk penduduk bersantai bersama keluarga, terutama hujung minggu.

Tetapi itu tidak dipedulikan. Pemilik anjing megah dan angkuh membawa haiwan tersebut untuk sama-sama berjoging. Kerap pula haiwan tersebut berak dan najis yang kotor lagi busuk itu dibiarkan oleh tuannya, akhirnya terpijak oleh orang yang sedang berjoging.

Pernah beberapa kali terjadi pergaduhan apabila orang yang terpijak tahi anjing bertemu dengan pemilik anjing. Tentu sekali dia tidak mengakui yang membuat kotor itu adalah anjing miliknya. Inilah susahnya apabila taman manusia menjadi taman anjing, gara-gara pemilik anjing bersifat pengotor seperti anjing.

Contoh 2: Menjadi kebiasaan pemilik anjing akan membawa haiwan kesayangannya itu untuk berjalan di kawasan perumahan, terutama pagi hujung minggu. Memang bagus haiwan yang terkurung 24 jam dalam rumah sesekali dibawa keluar.

Tetapi yang tidak bagus ialah haiwan berkenaan dibiarkan melakukan apa sahaja, walaupun memasuki kawasan rumah orang Islam. Sudahlah masuk halaman, anjing juga dibiarkan menggeselkan kepala pada pasu bunga, atau menghidu-hidu tempat letak kasut.

Paling menyakitkan hati ialah sikap tidak prihatin pemilik anjing yang membiarkan dengan penuh kerelaan walaupun dengan jelas melihat di hadapan mata anjingnya kencing dan berak di pintu masuk rumah orang lain.

Pernah sekali saya menegur seorang pemilik anjing yang santai menghisap rokok, pada hal anjingnya sedang melepas hajat di sebelah tayar kenderaan saya yang diletakkan di hadapan rumah.

Saya keluar rumah dan menegurnya secara baik: “Kawan, kenapa awak tidak larang anjing awak berak dekat kereta saya?” Dia tidak pun meminta maaf, tetapi hanya tersengih menjawab: “Dia tak tahu, encik... sebab dia anjing.”

Saya menyindirnya: “Memang dia anjing, tetapi awak bukan anjing, awak tahu kan?” Petang itu saya bersusah-payah memasukkan najis anjing ke dalam bekas plastik, kemudian meletakkan najis itu betul-betul di laluan masuk ke rumahnya, sambil berkata dengan berani: “Ini tahi anjing awak dekat kereta saya tadi!”

Dia tidak marah, sebaliknya hanya tersengih depan pintu. Agaknya dia tidak faham sindiran saya. Orang macam inilah yang patut diberi ceramah pada acara I Want to Touch a Dog.