MINGGU ini rakyat Malaysia secara keseluruhannya berada  dalam keadaan selesa. Selangor sudah ada Menteri Besar baharu.

Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor sudah memberikan keputusan  tanpa keraguan. Rakyat seluruhnya kian memahami kaedah  bersantun dalam politik.

Beberapa bulan lepas, helah politik menjadi-jadi. Pemimpin PKR amat aktif mencari jalan menjatuhkan menteri besar  pilihan mereka sendiri.

Mereka merancangkan pilihan raya kecil,  dengan kaedah pelik, iaitu Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan,  dan Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, masuk bertanding. Apabila Azizah menang, jadilah wakil rakyat PKR A menggantikan  wakil rakyat PKR C di Kajang. (A ialah Azizah, manakala C ialah Chin Cheh).

Frasa ‘Langkah Kajang’ mungkin dapat dianggap peribahasa  baru, bersama-sama peribahasa yang sedia ada: ‘langkah  kiri’, ‘langkah kanan’, ‘langkah bendul’ dan ‘langkah seribu’.

Maksud peribahasa baru ‘Langkah Kajang’ ialah usaha menjatuhkan pemimpin yang sedia ada bagi menaikkan orang lain sesama sendiri.

Seterusnya, jika kesan perbalahan ‘Langkah Kajang’ dikaitkan  dengan Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor, kita dapati ada jawapan  negatif dan positifnya, mengikut sudut pandangan yang berbeza.

Pihak Pas menerima kesan negatif kerana mereka seakan-akan tidak  direstui. PKR dan DAP tidak memberikan perhatian yang cukup  terhadap pilihan raya kecil itu, kerana Presiden Pas baru saja  mengemukakan serangan kritis terhadap mereka.

Presiden Pas  menyerang mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat yang menjadikan Pas sebagai jambatan untuk dilalui mereka, dan kemudian mereka hilang ke dalam hutan. Kata-kata Presiden Pas itu bernilai sastera tinggi.

Pihak Barisan Nasional, khususnya Umno, mendapat kesan positif. Memang, kebanyakan orang telah meramalkan bahawa Barisan Nasional akan menang di Pengkalan Kubor, kerana kawasan itu memang kawasan BN. Berkaitan dengan itu, kesan positifnya bukan sekadar kemenangan, tetapi lebih-lebih lagi pertambahan undi.

Berbalik pada Menteri Besar Selangor yang baharu. Dapatkah  Azmin Ali melaksanakan tugasnya sebagai MB hingga mengatasi  pencapaian Tan Sri Khalid Ibrahim? Perkara ini sedang diperhatikan  dan diukur oleh rakyat Selangor, dan juga rakyat Malaysia secara  keseluruhannya.

Tindakan awal pentadbiran Azmin ialah mengurangkan Exco  dari Pas. Dari sudut Pas, ini mungkin dinamakan ‘langkah Exco’. Itu hak Azmin, tetapi pengetepian Dr Halimah Ali yang telah berkhidmat secara berkesan menimbulkan tanda tanya. Wakil wanita daripada Pas diketepikan, manakala Elizabeth Wong daripada PKR terus memegang jawatan.

Azmin hanya perlu menyesuaikan diri dengan setiap ahli Exco yang terpilih, dan kemudian menggunakan ‘topi’ lain bagi mengambil  hati pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat. Beliau mungkin  boleh menepis rasa tidak puas hati Pas berkaitan dengan  pengetepian Dr
Halimah, kerana Rodziah Ismail daripada PKR sendiri juga turut diketepikan.

Hati yang perlu dijaga, selain hati ‘Pas’ selaku parti politik,  ialah hati wanita dari segi gender, kerana kini hanya dua  wanita yang terpilih menjadi Exco. Pada zaman Khalid Ibrahim, Exco  wanita berjumlah empat orang. Jika Pas mempertanyakan ‘langkah  Exco’, wanita mungkin bertanya: Mengapakah ‘Langkah Kajang’  meleret menjadi ‘langkah gender’?

Elok juga disebutkan, kedua-dua Exco wanita itu adalah dari PKR. Selain Elizabeth Wong, Dr. Daroyah Alwi turut terpilih. Apakah ertinya? Hal ini membawa makna, dalam Pakatan Rakyat, hanya wanita PKR layak berada di tahap Exco.

Sejumlah rakyat menghargai pencapaian Pakatan Rakyat dalam memperoleh kemenangan di Selangor berturut-turut, iaitu  dalam pilihan raya 2008 dan 2013. Khalid Ibrahim telah menjaga  Selangor secara terpuji, tetapi orang lain menghendaki tempatnya.

Kita dapati Barisan Nasional dapat menerima hakikat itu, tetapi dalam politik, jika pihak parti rival berdiam diri, berlakulah pertelingkahan sesama sendiri.

Kesilapan Khalid telah dicari-cari, padahal Khalid sudah lama dikenali oleh Anwar Ibrahim. Pas di sekitar Hadi Awang berada di  sebelah Khalid, tetapi di sekitar Mat Sabu lain pula.

Demikianlah  perbalahan yang ketara sesama sendiri. Rakyat kian memahami  semua ini.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada  Kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.